Pusat asah kemahiran
isma@hmetro.com.my
2010/04/11
DISC JOCKEY (DJ) adalah kelompok penghibur yang tidak menonjol dan lebih banyak bertindak sebagai pengiring artis dalam sesuatu persembahan atau di belakang tabir.
Di Malaysia, ada beberapa DJ dikenali ramai seperti DJ Uno, DJ Fuzz dan DJ Cza yang banyak berkolaborasi dengan atris terkenal tempatan selain menghasilkan karya untuk penyanyi tersohor.
Hadirnya beberapa nama besar seperti itu menyebabkan ramai golongan muda dan remaja ketika ini membabitkan diri untuk bergelar DJ.
Kini wujud juga beberapa pusat pembelajaran untuk melahirkan DJ dan antara yang dikenali adalah Akademi DJ Mixology yang dikendalikan oleh Farzwa Emir, 33, atau DJ Fuzz.
Seperti pemuzik lain, DJ mempunyai alat tersendiri untuk menghibur, termasuk peralatan asas iaitu dua turntable iaitu sejenis instrumen gramofon yang membolehkan seseorang memutar piring hitam, mixer serta head phone.
DJ juga boleh menambah beberapa alatan lain untuk menghidupkan lagi persembahan mereka seperti panel break untuk menghentikan muzik, panel ultra-pitch dan fine pitch bagi memudahkan kerja adunan dan pemadanan bunyi dilakukan dengan tepat.
DJ Fuzz yang bertindak sebagai Pengarah Akademi DJ Mixology, berkata secara asasnya seseorang yang belajar menjadi DJ perlu menguasai peringkat awal turntable dalam masa tiga bulan sebelum dilanjutkan kepada kemahiran lain mengikut kemampuannya.
Menurutnya, seseorang itu sekurang-kurangnya akan mengambil masa setahun untuk menjadi DJ yang baik, termasuk cekap menggunakan panel tambahan dan teknik khas.
"Banyak teknik boleh dipraktikkan untuk seseorang DJ dan sebagai contoh diberi nama sebagai baby scratch iaitu satu kaedah menggerakkan tangan ke depan dan belakang dalam gerakan selari menghasilkan bunyi wiggy-wiggy.
"Ada juga teknik mengadun semula lagu secara live dengan memainkan versi instrumental pada satu turntable sambil memainkan lagu sama pada satu lagi turntable yang boleh menghasilkan satu rentak dikenali juggling.
"Rentak breakbeats pula untuk lagu hip-hop," katanya yang banyak menghasilkan lagu untuk artis seperti Too Phat, Altimet dan Ahli Fiqir yang lebih terdorong kepada muzik genre hip-hop dan elektro.
Bagi DJ Fuzz, di Malaysia ramai anak muda kini mempelajari teknik menjadi DJ. Tambahan pula wujud pelbagai cabang dan peluang kerjaya berbanding beberapa tahun lalu yang dipandang sepi disebabkan ramai tidak yakin.
Fuzz menjelaskan, bermain turntable sebenarnya mula berkembang pada akhir 1980-an dan sejak itu ia mula berkembang, sekali gus wujud beberapa pusat melahirkan DJ di ibu negara.
Akademi DJ Mixologi melahirkan kira-kira 100 DJ sejak ditubuhkan kira-kira enam tahun lalu iaitu bermula beberapa peringkat latihan iaitu asas hingga dapat mencipta lagu.
Nasihat DJ Fuzz kepada sesiapa yang berminat menjadi DJ adalah, setiap kemahiran boleh diasah dengan melakukan latihan berterusan dengan mendalami lebih banyak teknik.
Dengan minat mendalam terhadap muzik dan latihan berterusan serta membuat rujukan teknik daripada DJ terkenal luar negara mampu melatih diri untuk menjadi DJ lebih baik dan berkemahiran tinggi.
ASRAF HAFIZ ASMY
"SAYA memang minat untuk menjadi DJ dan ketika ini mempelajari peringkat asasnya iaitu baru tiga bulan mengenai teknik yang ada selepas tertarik dengan persembahan beberapa DJ terkenal dalam negara, termasuk idola saya iaitu DJ Fuzz.
DJ ini juga mempunyai seni tersendiri dengan menggesek piring hitam bermain instrumen turntable sungguh mengasyikkan, itu yang membuatkan saya tertarik selain daripada muzik dihasilkan.
Banyak benda baru dipelajari dan ia tidak mudah melainkan kita betul-betul komited dan bersungguh-sungguh belajar serta mengadakan latihan.
Kini saya juga mampu membuat persembahan sambilan, sekali gus dapat membantu mengasah bakat."
NAMA: Asraf Hafiz Asmy
UMUR: 26 tahun
LAHIR: 27 Ogos 1983 di Pulau Pinang
PENDIDIKAN: Diploma Pengurusan Teknologi Kapal Terbang
HOBI: Mendengar muzik
MOHAMED ALI
"PALING saya kagum adalah keupayaan seseorang DJ mengadun lagu, menyebabkan saya tertarik untuk menceburi bidang ini. Tidak semua orang, termasuk pemuzik, mampu berbuat demikian.
Walaupun baru sebulan mengenali dan bermain instrumen sebagai DJ, saya teruja untuk bergelar antara yang terbaik satu hari nanti.
Minat saya bermula sejak sekolah tetapi pada waktu itu terpaksa menumpukan perhatian kepada pelajaran, menyebabkan perlu menangguh dulu impian belajar menjadi DJ.
Sebab itu saya baru mula belajar dan membuat banyak rujukan di Internet, terutama Youtube bagi mencari idea dan teknik baru bagi memahirkan diri."
NAMA: Mohamed Ali Mohd Ibrahim
UMUR: 24 tahun
LAHIR: 4 Disember 1985 di Klang, Selangor
PENDIDIKAN: Ijazah dalam bidang Kajian Nautikal
HOBI: Bermain futsal
NORMERA AHMAD JEFFRI
"SAYA tidak kisah apa orang kata dan tahu ramai memandang serong terhadap perempuan yang menjadi DJ. Saya mencari keunikan iaitu tidak ramai perempuan menjadi DJ menyebabkan saya memilih untuk mempelajari bidang ini. Sebelum ini juga saya bermain alat muzik seperti piano tetapi sudah seperti biasa. Buat masa ini saya masih belajar peringkat asas DJ dan memang bertekad untuk belajar ke peringkat tertinggi."
NAMA: Normera Ahmad Jeffri
UMUR: 23 tahun
LAHIR: 12 Oktober 1987 di Kuala Lumpur
PENDIDIKAN: Ijazah dalam bidang Perniagaan
HOBI: Menyanyi dan bermain piano
REGISTER NOW AT:
mixologydjacademy.blogspot.com






0 comments:
Post a Comment